Makna fana


Syeikh Ad-Darqawi meriwayatkan bahawa Abu Said Al-Arabi pernah berkata apabila ditanya berkenaan maksud FANA

FANA ialah apabila Keagungan Allah Subhanahuwa Taala  yang tidak terbatas itu kelihatan kepada si hamba dan menjadikan ia lupa kepada alam ini danalam akhirat dengan segala Hal,  Martabat dan Maqamnya dan lupa kepada mengingati seluruhnya itu,  dan ia tidak nampak lagi kepada segala yang zahir dan segala yang ternampak oleh akal dan jiwanya,  dan ia hancur lebur di sana,  hinggakan hancur lebur itu pun hilang sirna dari ingatannya,  sehingga seluruh dirinya tenggelam dan hilang dalam lautan Ma’rifat yang tidak bertepi dan tidak terkira dalamnya itu.

Syeikh Al-‘Alawi berkata:-

Ahli Ma’rifat mengalami mati sebelum mati (bercerai nyawa dari badan).  Nabi pernah bersabda,  “Mati sebelum kamu mati”,  dan inilah mati yang sebenarnya.  Bercerai nyawa dari badan itu bukanlah mati.  Itu hanya pertukaran tempat atau pertukaran alam.  Mati yang sebenarnya menurut pandangan orang-orang Sufi ialahFANA atau lenyapnya si hamba itu.  Ahli Ma’rifat itu mati kepada dirinya sendiri dan mati kepada alam seluruhnya.  Ia hidup semula di dalam Allah Subhanahuwa Taala.  Kalau anda tanya tentang wujud dirinya,   dia tidak akan menjawab kerana ia tidak nampak wujudnya sendiri.  Abu Yazid Al-Bustomi pernah ditanya tentang dirinya,  lalu beliau menjawab,

“Abu Yazid telah mati.  Mudah-mudahan Allah cucuri rahmat ke atasnya”. 

Inilah mati yang hakiki.  Di Hari Pembangkitan Semula di akhirat kelak,  jika ditanya orang yang hanya kenal kepada mati biasa (bercerai nyawa dari badan) saja itu  “Siapakah kamu?”  Ia akan menjawab,  “Aku ini si anu”.  Kerana nyawanya tidak mati dan ia tidak langsung mencium mati,  tetapi hanya sekadar berpindah alam saja.  Tidak ada siapa pun yang tahu maksud mati ini melainkan mereka yang telah benar-benar mengalami mati yang hakiki ini.  Demikianlah orang sufi itu menghitung dirinya sebelum Hari Perhitungan di akhirat kelak.  Nabi pernah bersabda,

“Perhitungkanlah dirimu sebelum engkau diperhitungkan (di akhirat)”.

Mereka sedaya upaya dan bersusah payah memperhitung diri mereka sendiri hingga mereka bebas memikirkan Tuhan dan bagi mereka inilah pembangkitan semula sebelum “Pembangkitan Semula” di akhirat kelak.

Keadaan hidup dalam Allah yang dinyatakan oleh kalimat “Muhammadun Rasulul-Lah”  itu dinyatakan oleh Syeikh Al-‘Alawi selanjutnya demikian:-

Apabila Ahli Ma’rifat mengenal Allah dari segi Zat dan SifatNya dan tenggelam dalam memandang itu,  maka ma’rifat ini tidak pula membawa mereka melampaui batasan.  Di samping hakikat ia tetap mengamalkan syariat.  Perpisahan (farq) beliau tidak menghijabkan dari persatuan (jami’).   Begitu juga persatuan beliau tidak menghijabnya dari perpisahan.  Dia memandang hakikat dalam dirinya secara langsung,  namun begitu Syari’at mengikatnya dari luar.  Imam Al-Ghazali dalam bukunya berjudul “Misykat Al-Anwar” ada berkata:-

1.  Si Arif (ahli ma’rifat) itu naik dari lembah majasi (bukan sebenarnya) ke puncak gunung Hakikat;  dan setelah terlaksana kenaikannya itu maka disaksikannyalah di hadapan mukanya bahawa tidak ada yang wujud kecuali Allah,  dan benarlah kata-kata Allah:  “Segala-galanya akan hancur musnah kecuali WajahNya”,  bukan sahaja musnah pada sesuatu yang tertentu bahkan sentiasa hancur musnah……..

Tiap-tiap sesuatu ada dua wajah (muka);   iaitu wajahnya sendiri dan satu lagi wajah Allah.  Berkenaan dengan wajahnya sendiri adalah tidak ada; dan yang berkenaan wajah Allah itulah yang sebenarnya ada.  Oleh itu,  tidak ada yang wujud kecuali Allah dan Wajahnya,  kerana segala-galanya akan hancur musnah kecuali WajahNya selalu,  sentiasa dan selama-lamanya…..

Dengan yang sedemikian,  seorang ahli sufi tidak perlu menunggu Hari Kebangkitan untuk mendengar firman Tuhan Yang Menjadikan:  “Milik siapakah kerajaan pada hari ini?.  Milik Allah Yang Maha Esa dan Maha Perkasa”  (Al-Quran,XL,16),  kerana firman Tuhan ini sentiasa kekal dalam pendengarannya,  dan tidak perlu lagi mengetahui dari ucapan Allahu Akbar (Allah Yang Maha Besar) yang Dia adalah lebih Agung dari yang lain.  Sebenarnya tidak ada yang lain dari Dia Sendiri dalam wujud ini,  dan oleh yang demikian tidak ada perbandingan tentang KebesaranNya”.

2.  “Tidak ada ‘Dia’ kecuali ‘Dia”,  kerana ‘Dia’ itu ialah menunjukkan kepada apa yang dirujukkan dan tidak ada rujukan melainkan kepada Dia sahaja; kerana apabila anda membuat rujukan,  maka rujukan itu adalah sebenarnya kepada Dia meskipun anda tidak mengetahuinya disebabkan kejahilan anda tentang Hakikat Yang Sebenarnya………..

Oleh yang demikian ucapan ‘La ilaha illal-Lah’ (Tidak ada Tuhan selain Allah) adalah ucapan Tauhid bagi orang-orang awam,  dan ucapan ‘Tidak ada Dia selain Dia adalah ucapan orang-orang yang terpilih (yang khusus),  kerana yang mula itu adalah lebih umum dan yang kemudian itu adalah yang khusus dan lebih meliputi,  lebih benar,  lebih tepat dan lebih sesuai untuk membawa orang yang menggunakannya kepada Kesatuan dan Keesaan Yang Maha Mutlak”.

Syeikh Ad-Darqawi menyatakan bahawa abu Said ibn Al-arabi pernah berkata apabila ditanya tentang maksud FANA;

“Tentang FANA  ini Kemuliaan dan Keagungan Tuhan Yang Maha Agung itu nampak pada si hamba dan dengan itu lupalah si hamba tadi pada dunia dan akhirat dengan segala hal,  peringkat dan maqamnya dan dari mengingati segalanya itu.  Hilanglah dari si hamba itu segala yang zahir dan yang dalam fikiran dan jiwanya.  Hapus segala yang lain.  Bahkan kelupaan,  kehilangan dan kehapusan itu pun hilang dan musnah darinya sehingga si hamba itu tenggelam dan hilang dalam lautan Ma’rifat kepada Keesaan Tuhan Yang Maha Agung itu.

Pada umumnya ahli-ahli Sufi mengatakan bahawa matlamat akhir perjalanan keruhanian orang-orang Sufi ialah mencapai “kesatuan” dengan Allah SWT. Mereka gunakan perkataan “fana'” (lenyap atau hilang binasa) untuk perasaan “kesatuan” dengan Allah itu. Fana’ ialah aspek negatif pengalaman keruhanian. Aspek positifnya ialah “baqa” (berkekalan dan berterusan). Fana’ dan Baqa’ ini bersifat relatif (nisbah). Fana’ yang mutlak tidak bererti apa-apa. Apa yang dimaksudkan dengan “kesatuan dengan Allah” ialah satu “keadaan” di mana kesatuan yang sememangnya ada itu disedari atau disahkan.

Si Sufi itu bukan menjadi Allah, kerana tidak ada “menjadi” dalam theori ini. Pada hakikatnya si Sufi itu memang “bersatu” dengan Allah. Begitu juga tiap-tiap sesuatu itu memang “bersatu” (dalam segi pandangan keruhanian orang-orang Sufi) dengan Allah SWT. Apa yang diketahui oleh si Sufi itu memang dialaminya. Kalau ada orang mengatakan ia jadi Tuhan maka itu adalah bohong semata-mata. · Maksud Fana’ Maksud “fana'” termasuk dalam dua perkara di bawah ini :

1. Fana’ dalam pengertian mistik. Ini bermaksud lenyapnya kejahilan dan tinggallah (baqa’) ilmu yang benar (diperolehi dengan ilham) tentang keesaan Keseluruhan pada hakikatnya Mistik tidak lenyap dan hapus dari “diri”-nya tetapi ia sedar bahawa ia sebagai bentuk, wujudnya tidak ada pada hakikat.

2. Fana’ dalam pengertian metafizika. Ini bererti lenyapnya “bentuk-bentuk” Alam Kasar ini dan berterusan serta kekal (baqa’) Zat Yang Esa. Kata Ibnul Arabi, “Lenyapnya sesuatu bentuk itu adalah fana’; atau hapusnya sesuatu bentuk pada ketika tajalli (penzahiran) Allah dalam bentuk yang lain.” Fana’ mistik itu tidak sempurna.

Si Mistik atau si Sufi menyedari bahawa ia, sebagai bentuk, tidak ada wujud hakiki, tetapi oleh kerana keadaan tabi’i bentuk itu sendiri ia tidak dapat lenyap langsung dari wujud. Bagaimana mungkin, walaupun bagi si Mistik, “mati” sebelum mati (meninggal dunia) dan pada masa yang sama sedar pula tentang Allah sebagai Hakikat atau Zat yang meliputi segala? Bukankah kesedaran itu sendiri menunjukkan adanya “diri”? Inilah perbezaan antara dua keadaan mistik itu :

1. Hilang lenyapnya “diri” atau “peribadi” dari semua kesan dan ciri-ciri (al-fana ‘an al-rasm wa halan). Keadaan ini seperti keadaan tidur. Si Sufi itu bukan dengan “diri”-nya dan bukan dengan “Tuhan”-nya. Dia tidur, dia jahil.

2. Lenyapnya “diri” dalam keadaan ilmu intuisi (ilham) di mana kesatuan Keseluruhan itu dibukakan dalam kesedaran. Inilah aspek pengalaman keruhanian yang ditekankan. Ini adalah ilmu yang tidak ada cacat cela. Inilah yang dicari. Mengatakan “Aku jadi Tuhan atau mati diri” dalam pengertian yang hakiki adalah bodoh dan jahil dan melihat “diri” sendiri saja dalam pengalaman keruhanian adalah syirik.

Yang sempurna ialah Sufi yang melihat Allah dan juga dirinya dalam pengalaman keruhanian, dengan cara ilmu mistik dan perasaan (‘ilman wa halan) dan melihat “diri”-nya dengan pengetahuan mistik sahaja (‘ilman la halan). Dengan lain perkataan, si sufi yang sempurna ialah orang Sufi yang mengenal Wujud Mutlak dan “bentuk” dan menyedari kesatuan (pada realiti atau hakikat) antara keduanya dan tidak wujudnya bentuk itu secara hakiki.

Inilah fana’ yang paling sempurna yang boleh dicapai oleh si Sufi dalam dunia ini. Fana’ sebenar dicapai selepas meninggal dunia apabila bentuk itu hilang binasa langsung. · Fana’ Sebagai Proses Yang Beransur-ansur Fana’ itu adalah proses yang beransur-ansur yang terdiri dari beberapa peringkat. Dalam peringkat itu si Sufi tahu secara intuisi atau rasa (dhawq) kedudukannya di samping Tuhan. Peringkat ini adalah seperti berikut :

1. Fana’ dalam lakuan Allah. Dalam peringkat ini si salik (orang yang dalam perjalanan menuju Allah) itu menyedari bahawa semua lakuan dan tindakan adalah lakuan Allah belaka. Si Salik itu pada peringkat ini berada dalam hadrat Cahaya Semata (hadrat al-Nur al-Mahd) iaitu Kebaikan Semata (al-Kahyr al-Mahd). Menganggap lakuan dan perbuatan anda itu kepunyaan anda sendiri adalah dalam hadrat Gelap Semata (hadrat al-Zulmah al-Mahdah) dan ini adalah syirik. Dalam peringkat ini si Salik menyedari bahawa Allah itulah saja agent atau pelaku dalam alam raya ini.

2. Fana’ dari semua sifat makhluk. Si Salik menyedari dalam peringkat ini bahawa semua sifat (kualiti) makhluk adalah sebenarnya sifat dan kualiti Allah.

3. Fana’ dari personaliti (zat) sendiri. Dalam peringkat ini si Salik merasa dan sedar bahawa diri fenomenalnya tidak ada dan yang baqa’ (kekal) adalah rohnya yang menjadi bayangan Tuhan itu.

4. Fana’ dari seluruh dunia, iaitu terhenti dari memandang dan memikirkan aspek fenomena (zahir) alam ini dan menyedari aspek hakiki yang ada di sebalik yang zahir itu.

5. Fana’ dari “selain Allah” bahkan dari fana’ itu sendiri. Dalam peringkat ini si Salik itu lupa langsung apa saja selain Allah dan juga fana’ itu sendiri. Di peringkat ini juga si Salik itu tidak sedar dirinya sebagai yang “memandang”. Allah itu sendiri “yang memandang” dan “yang dipandang”. Dia kelihatan dalam semua keadaan (syu’un) iaitu penzahiran-Nya.

6. Fana’ dari semua sifat Allah dan nisbahnya iaitu memandang Allah sebagai zat alam raya ini. Si Mistik itu tidak lagi menganggap alam ini sebagai kesan dari satu penyebab tetapi “sebagai Hakikat dalam zahir” (Haqq fi Zuhur). Ia sedar betapa pada pandangannya, yang lain tidak ada. Dalam peringkat ini disedarilah sepenuhnya kesatuan dan keesaan segala sesuatu.

Di sinilah kesimpulan seluruh falsafah Tasauf. Peringkat inilah akhir dan matlamat semua usaha dan latihan si Salik (iaitu orang yang dalam perjalanan menuju Allah). Tujuan akhir Tasauf ialah mencapai apa yang digelar “ilmu yang benar” atau “ilmu hakiki” atau “ma’rifat”. Pada setiap peringkat itu, sebahagian dari hijab (tabir) itu tersingkap. Hijab itu ialah ciri-ciri Alam Nyata ini dan juga apa saja selain Allah. Apabila semua hijab itu tersingkap maka ternampaklah Hakikat (iaitu Allah) itu dengan terang-benderang. Di sini kebebasan roh itupun tercapai. Maka si Salik itupun dikatakan sampai (wasala) di matlamatnya dan di situlah tempat kebahagiaannya. Matlamat itu bukanlah Zat Allah itu sendiri. “Bagaimana Allah itu jadi matlamat sedangkan Dia itu Sendiri yang sebenarnya sampai ke matlamat itu?” Seorang Sufi diberitahu oleh seorang hamba Allah, “Tuan, ada seorang Sufi mengatakan ia telah sampai (wasala), bagaimana pendapat tuan?” Si Sufi itu menjawab, “Sampai ke mana? Ke Neraka?” Aku menyokong pendapat ini untuk menunjukkan bahawa matlamat akhir perjalanan kesufian itu bukanlah Allah itu sendiri. Kebahagiaan yang paling tinggi bagi seorang Sufi ialah dalam “menyedari”, “kesatuan” atau “keesaan”nya dengan Alla SWT dengan melalui rasa dan pengalaman keruhanian. Ilmu yang diyakini (‘ilmul-yaqin) sekarang menjadi “zat” keyakinan (‘aynul-yaqin) itu sendiri. Apabila ia telah melampaui peringkat kualiti (sifat) ‘Alim (yang tahu) dan Ma’lum (yang diketahui), maka ia sampai ke peringkat yang paling tinggi dalam kehidupan keruhaniannya di mana ia berhadapan wajah dengan hakikat keyakinan (haqqul-yaqin). Pendeknya, tujuan bersuluk (iaitu cara-cara dari latihan pembuka hijab), menurut theori ini ialah untuk menyedari baik atau untuk menginsafi diri tentang “kesatuan” atau “perpaduan” diri dan alam ini dengan Wujud Mutlak (iaitu Allah) itu. Kesatuan atau perpaduan itu telah memang sedia ada sejak azali lagi hinggalah sampai bila-bila, tetapi setelah lahir ke dunia kita lupa, maka itulah sebabnya diutuskan para Rasul dan pewaris-pewarisnya untuk menyedarkan kembali manusia itu supaya ia kenal dan tahu hakikat dirinya dan Tuhannya.

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s